Suaranya mengerang kesakitan dan riak wajahnya menahan sengsara benar-benar menginsafkan saya. Saya tidak tahu apa yang patut dilakukan waktu itu. Memicit kepala atau memberi kata-kata perangsang semuanya hanya dalam kepala. Saya tidak ada keberanian untuk melakukannya. Semua serba tak kena.
Waktu suara bayi memecah dingin pukul 3 pagi Februari lalu, dia terlena keletihan. Ketika doktor memberitahunya kami dianugerahkan anak lelaki, dia hanya tersenyum sebelum terlena. Dan sungguh waktu itu, gembira dan duka menjadi satu.
Istimewanya dia di mata saya bukan kerana dia melahirkan anak sulung kami, tetapi kerana kesakitan dan kepayahannya melahirkan bayi kami menyuburkan lagi kasih dan cinta saya kepadanya.
Sebenarnya ketika menikahinya hati saya masih tidak tetap. Di waktu bujang , saya ramai kenalan wanita yang anggun, jelita dan muda belia. Tetapi kerana bukan jodoh, satu pun tidak melekat…
Hinggalah saya bertemu dia. Sopan dan lemah lembut orangnya. Dia berfikiran terbuka dan bukan berkerjaya 9 to 5. saya cuba memahami kerjayanya yang kelam kabut waktunya, saya cuba memahami kegelisahannya setiap kali gagal pulang ke kampong sebulan sekali dan segala-galanya tentang dia.
Tapi, satu yang saya lupa tanyakan, benar-benar saya lupa (mungkin kerana take for granted atau saya dipanah asmara), ialah berapa umurnya. Dengan raut muda dan tubuh kecil molek, saya fikir usianya muda daripada saya atau sebaya. Sewaktu dia memberitahu saya yang dia tua tiga tahun daripada saya, macam nak terduduk pun ada.
Memang, usia bagi sesetengah orang bukan penghalang besar tapi bagi saya, usia memainkan peranan yang sangat besar. Saya tidak mahu beristeri tua, walaupun setahun.
“Umur jadi masalahkah untuk lelaki macam awak yang saya kira berfikiran terbuka dan matang? Jika awak rasa ia halangan untuk bahagia, tinggalkan saja, jangan buat diri merana,” dia bercakap dengan yakin tapi penuh harap sebenarnya untuk saya tidak meninggalkannya (saya tahu itu!). Huh! Lelaki seperti saya tidak akan mengalah, justeru umpan yang dihulur saya telan. Saya katakan, age is just a number’ tapi dalam hati mak ai… betul ke aku ni?
Tapi dalam tidak mahu, itu yang saya dapat. Pelan untuk berkahwin semua sudah sedia, hanya menunggu masa untuk bersanding di pelamin. Waktu itu hati saya jadi tidak tetap. Kawan-kawan mula mengusik. Prinsip tak mahu gadis tua jadi ejekan. Kawan- kawan satu pun tidak memberi sokongan.
Kekuatan fizikal dan mental dibandingkan dengan usia. Pelbagai hipotesis keluar membuat saya makin gerun! Saya jadi tak keruan. Hujung minggu saya banyak habiskan masa dengan kawan- kawan, melepaskan bebanan perasaan.
Tapi mereka hanya mentertawakan saya. Maklumlah, cakap besar. Benarlah kata orang, makin dekat nak berkahwin, makin kuat dugaannya. Waktu itu macam- macam perkara timbul dalam fikiran. Keegoan seorang lelaki dan prinsip kononnya menjadi racun dalam hati.
Dia memang sedikit pun tidak tahu. Saya masih berlagak seperti biasa. Cuma kami jarang bertemu kononnya semakin dekat tarikh nikah, tak elok bertemu selalu takut hilang seri. Walhal dalam hati, sebenarnya saya ngeri!
Tapi kemudiannya, saya terfikir kembali apalah ertinya mempertahankan keegoan dan prinsip jika akhirnya saya menjahanamkan hidup sendiri. Benar dia tiada cacat celanya. Dia sempurna di mata saya kecuali umurnya!
Saya gagahi juga mengharung hari- hari seterusnya. Saya paksa hati untuk redha dengan ketentuanNya. Saya paksa diri untuk percaya, dia adalah yang terbaik untuk saya. Dengan hati masih berbelah bahagi, saya jabat juga tangan tok kadi. Dan akhirnya dia sah menjadi isteri.
Saya jalani hidup penuh sabar dan cuba menerima dia seadanya. Tapi memanglah sukar apatah lagi ramai kawan- kawan masih bujang dan menghabiskan masa hujung minggu dan kadang kala hampir setiap malam berpeleseran. Saya tumpang sekaki. Mujur jadual kerjanya bukan waktu normal, kadangkala hujung minggu pun bekerja, jadi alasan kesunyian sering saya beri jika menghabiskan masa merambu dengan kawan- kawan bujang.
Tapi bila dia memberitahu saya dia mengandung dan anak lelaki pula, perlahan- lahan saya lebih tertarik untuk menghabiskan masa bersamanya daripada berembun.
Waktu paling indah buat saya bila dia akhirnya melahirkan cinta hati kami. Saya tidak tahu apa yang harus saya buat. Rasa bersalah, suka dan duka berbaur menjadi satu. Apa yang pasti, sewaktu saya azankan kalimah suci ke telinga bayi, cinta dan kasih sayang saya pada isteri terlalu dalam dan berganda- ganda dari hari pertama saya bertemu dengannya. Usia bukan lagi halangan untuk mencintainya sepenuh hati.
Dia istimewa buat saya kerana dia membuat saya istimewa. Waktu teman- teman yang mengahwini wanita lebih muda atau sebaya belum lagi dikurniakan cahaya mata, saya Alhamdulillah, diberi Allah nikmat itu.
Saya menyaksikan kesakitan dan keperitan dia melahirkan dan saya tidak pasti jika lelaki boleh hamil, adakah saya mahu melakukannya seperti dia melakukannya untuk saya.
No comments:
Post a Comment